Sunday 25 November 2012

Mengenali Peribahasa Dalam Bahasa Melayu

Peribahasa adalah salah satu elemen penting dalam kemahiran berbahasa. Mengikut Ishak Ramly(1990) peribahasa adalah cabang dalam sastera melayu dan merupakan ikatan bahasa atau puisi melayu kuno yang bernilai sastera. Memahami peribahasa akan membawa pengkajinya mengenali sosiobudaya masyarakat melayu lama. Hal ini demikian kerana peribahasa dalam masyarakat melayu tradisional merupakan percakapan atau ujaran yang mereka gunakan untuk menyampaikan kebijaksanaan fikiran mereka kepada generasi muda. Sehubungan dengan itu, mengikut Abdullah Hussin(1989) peribahasa itu sama tuanya dengan bahasa sesuatu bangsa dan peribahasa mula-mula digunakan apabila bangsa manusia mula mengenal peradaban.

Dalam masyarakat melayu tradisional, mereka mengatur organisasi kehidupan masyarakat dengan batasan antara baik dengan yang buruk. Pemikiran sedemikian disogok kepada generasi untuk menjadi pendinding tata tertib pergaulan dan perhubungan hidup sesama manusia. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan mesej tersebut. Sebab itulah, kita dapati di dalam peribahasa terbina rangkaian-rangkaian perkataan yang tetap dan tersimpul dengan susunan-susunan yang khas dan ikatan bahasa yang indah agar mudah melekat di mulut orang ramai. Dengan demikian masyarakat mula memakainya dalam perbualan harian sebagai bandingan teladan dan pengajaran.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran peribahasa, perkembangan mutakhir menunjukkan peribahasa semakin kurang dititikberatkan kerana beberapa faktor. Ramai yang beranggapan bahawa peribahasa merupakan bahasa klise atau bahasa milik sastera lama. Justeru, generasi baru beranggapan ia sudah lapok dan tidak relevan dengan kemajuan semasa. Hal ini ditambah lagi apabila timbul anggapan bahawa peribahasa itu sukar diingat dan difahami. Kesukaran mereka memahami peribahasa menyebabkan mereka tidak mahu menggunakannya. Dalam konteks pembelajaran di bilik darjah, murid-murid sukar memahami peribahasa kerana mempunyai makna yang tersirat dan mempunyai pelbagai makna. Ditambah lagi pengajaran peribahasa yang membosankan mereka.

Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah bidalan, pepatah, perbilangan, simpulan bahasa, kiasan, perumpamaan, tampil dan ibarat. Bidalan merupakan ungkapan yang menjadi panduan nilai sosial, mengandungi teladan dan nasihat. Contohnya, "sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan". Sementara itu, peribahasa jenis pepatah pula, berasal daripada adat resam dan berfungsi sebagai pedoman dalam kehidupan masyarakat. Bentuk pepatah adalah berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, "berakit-rakit dahulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".

Simpulan bahasa merupakan kata-kata yang dikiaskan atau dibandingkan dengan benda lain. Bentuknya terdiri daripada dua atau tiga patah perkataan. Contohnya, "kaki bangku", kaki ayam". Simpulan bahasa selalu digunakan sebagai sindiran dan mempunyai bahasa yang tersirat. Peribahasa jenis kiasan lazimnya digunakan untuk membuat perbandingan perilaku manusia dengan alam sekitaran dengan cara yang lembut dan tidak tepat pukulannya. Sebagai contoh, "tangkai jering", "panjang tangan" dan "mulut tempaian". Perumpamaan merupakan peribahasa yang terdiri daripada anologi dua perkara dan biasanya menggunakan kata perbandingan : seperti, bagai, bak, umpama, laksana dan sebagainya. Contoh peribahasa "sebagai kaca terhempas ke batu" , "bagai tikus jatuh ke beras".

Kesimpulannya, peribahasa merupakan warisan kazana ilmu bahasa melayu yang patut dikembangkan kepada generasi bangsa Malaysia. Menjadikan pengajaran peribahasa sebagai salah satu aspek penting dalam pengajaran bahasa melayu merupakan langkah yang tepat. Supaya pengajaran bahasa melayu tidak membosankan murid-murid di bilik darjah, para guru perlu kreatif menyampai pengajaran peribahasa. Pelbagai pendekatan yang telah disarankan dalam menyampaikan pengajaran perlu dipraktikkan oleh guru-guru. Guru perlu membebaskan diri daripada menggunakan pendekatan yang sama setiap kali menjalankan pengajaran. Sebagai contoh, cenderung menggunakan pendekatan berpusatkan guru. Pendekatan ini hanya akan menyebabkan murid menjadi pasif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran peribahasa yang lebih menarik seperti menggunakan pendekatan kontekstual dan teknik yang berpusatkan pelajar perlu diambil perhatian oleh guru.

No comments: