Wednesday 5 December 2012

Bahasa Melayu - Pantun Dua Kerat

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Mengaku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Mentimun bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat siang.

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut senang hati.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Dahulu parang sekarang besi,
Dahulu sayang sekarang benci.

Sunday 2 December 2012

Bahasa Melayu - ( Pantun Kanak - Kanak )

Jangan gergaji pokok talas,
 Nanti lesung dimakan pahat,
 Jangan menjadi orang malas,
 Perut kosong badan tak sihat.

 Bintang tujuh sinar berseri,
 Bulan purnama datang menerpa,
 Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.

Terang bulan di malam sepi,
 Cahaya memancar ke pokok kelapa,
 Hidup di dunia buatlah bakti,
 Kepada saudara ibu dan bapa.

Contoh Rancangan Pengajaran Harian Tahun 4

Tajuk : Pencemaran Air                                                              
Kemahiran menulis

Menulis :
8.5 Mengenal pasti dan menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam satu perenggan atau antara perenggan dalam sesebuah karangan.
Aras 1 (1) Memilih dan mengenal pasti penanda wacana yang terdapat dalam teks yang dibaca.

Fokus sampingan : Kemahiran membaca
5.1 Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul serta memahami perkara yang dibaca.
Aras 3 (1) Membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang betul dan menarik

Objektif pembelajaran: Pada akhir pelajaran murid-murid dapat : 

1) Menyenaraikan 5 penanda wacana yang terdapat dalam teks yang dibaca.
2) Membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang betul dan menarik.
3) Membina 10 perkataan daripada perkataan PENCEMARAN


Tatabahasa
Sistem Bahasa : Penanda wacana

Pengisian kurikulum : 1) Ilmu -Kajian tempatan
Geografi

2) Nilai - Kerjasama

3) Kewarganegaraan - Mencintai negara yang aman 
dan selamat

4) Kemahiran Bernilai Tambah :

a) Kemahiran berfikir -Menjana idea                                                    
b) Belajar cara belajar -Belajar berkumpulan
c) Pembelajaran kontekstual -Berkerjasama
d) Pembelajaran konstruktivisme


Bahan Bantu Mengajar - Slaid ikan duyung, petikan teks, kad soalan, kertas sebak, kad perkataan, teka silang kata.

Alat Bantu Mengajar - LCD
Pengetahuan Sedia ada - Pelajar pernah melihat tragedi pencemaran air atau sungai yang berlaku di kawasan perumahan mereka.


Langkah Set induksi ( 5 minit)

Sedutan filem "Duyung"
Mengisahkan seorang lelaki yang dilakonkan oleh Apek Senario bersama sahabatnya Orex yang dilakonkan oleh Yassin Senario bekerja untuk membersihkan kawasan sungai di tempat mereka. Mereka mengatakan bahawa sekiranya sungai dan laut ini bersih maka ikan duyung akan wujud di dalam kawasan sungai mereka. Ini mengukuhkan lagi kerajinan yang ada di dalam diri Apek senario dan rakannya Orex.

Aktiviti Pengajaran dan pembelajaran

Murid melihat tayangan sedutan filem " Duyung"

Murid bersoal jawab mengenai filem yang diaparkan dengan bantuan guru
Soalannya :
1) Apa yang sedang dilakukan oleh Apek Senario bersama sahabatnya Orex?
2) Apakan pandangan Apek Senario sekiranya sungai itu bersih ?

Langkah 1 ( 20 minit )

Petikan teks ( pencemaran air )

1) Murid diberikan petikan teks " pencemaran air" oleh guru.
2) Murid membaca teks dengan betul mengikut intonasi dan sebutan yang betul dan kuat di dalam kelas secara berkumpulan dan individu mengikut perenggan di dahului oleh bacaan bersama guru.
3) Setiap kumpulan diberikan satu kad soalan berkenaan dengan pencemaran air.
4) Murid menulis tiga jawapan setiap soalan yang diberikan di atas kertas sebak yang diberikan oleh guru.
5) 2 orang wakil pelajar setiap kumpulan dikehendaki membaca jawapan yang telah di cari.
6) Kumpulan yang cepat dan lengkap bersama jawapan akan diberikan ganjaran.


Langkah 2 ( 20 minit)

1) Murid mendapat penerangan daripada guru tentang penanda wacana
2) Ketua kumpulan dikehendaki mengambil kertas arahan daripada guru
3) Ketua kumpulan membaca arahan dan didengari oleh ahli kumpulan yang lain
4)Setiap kumpulan dikehendaki mencari dan menyenaraikan 5 penanda wacana yang terdapat di dalam petikan " pencemaran air" di dalam kertas sebak yang diberikan oleh guru
5) Wakil pelajar setiap kumpulan menampalkan hasil kerja kumpulan di papan tulis. Ketua kumpulan dikehendaki membaca jawapan yang telah di cari
6) Murid-murid lain memastikan sama ada betul atau tidak penanda wacana yang telah disenaraikan oleh setiap kumpulan secara rawak.

Langkah 3( 10 minit ) 

Perkataan PENCEMARAN

1) Murid melihat perkataan PENCEMARAN yang telah ditampalkan oleh guru di papan tulis.
2) Murid dikehendaki membina 10 perkataan daripada perkataan PENCEMARAN di dalam borang pengurusan grafik (PG)
3) Murid yang dapat menyenaraikan lebih daripada sepuluh perkataan dan pantas akan diberikan ganjaran

Penutup( 5 minit)

Menyatakan nilai-nilai murni

Murid merumuskan pelajaran pada hari ini dengan menyatakan nilai-nilai murni
1) Kebersihan adalah separuh dari iman
2) Menjaga kebersihan sungai adalah amalan kita semua
3) Kita perlu menjaga sungai kita daripada tercemar bagi mengelakkan hidupan laut mati begitu sahaja.

Lagu Bahasa Jiwa Bangsa



Lirik Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Monday 26 November 2012

Bahasa Melayu - ( Jenis-Jenis Kata Tugas )

a). Kata Hubung -
ialah kata penyambung ayat, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis.
Contoh : Zaki, Adli dan Irfan pergi ke sekolah.

b). Kata Seru -
ialah  kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun.
Contoh : Amboi, kedekutnya orang itu!

c). Kata Tanya -
ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila, dan bagaimana.
Contoh : Berapa tahunkah dia berada di luar negara?

d). Kata Perintah - 

ialah perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan, atau permintaan.
Contoh : Jangan kamu bermain di kawasan ini.

e). Kata Pangkal Ayat - 

ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan  ayat dalam wacana. Namun, kata pangkal ayat ini tidak begitu banyak diamalkan sekarang. Perkataan ini umumnya digunakan dalam bahasa Melayu klasik, misalnya hatta,maka, arakian, syahadan, dan sebagainya.
Contoh : Hatta istana itu pun siaplah.

f). Kata Bantu -

ialah perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama iaitu dengan menimbulkan makna-makna tambahan dari aspek waktu atau ragam.
Contoh : Kami pernah ke utara Malaysia.

g). Kata Penguat

ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif.
Contoh : Pokok itu terlalu tinggi.

h). Kata Penegas -

juga disebut partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
Contoh : Inilah isteri kesayanganku.

i). Kata Nafi -

ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.
Contoh : Lelaki yang berbaju merah itu bukan ayah saya.

j). Kata Pemeri -

ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dala predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu ialah dan   adalah.
Contoh : Dia ialah seorang guru.

k). Kata Sendi Nama -

adalah kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi memerlukan frasa nama yang membentuk predikat ayat.
Contoh : Dia berasal dari pedalaman.

l). Kata Pembenar -
ialah kata yang mengesahkan sesuatu pertanyaan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar, dan betul.
Contoh : Ya, esok awak boleh bercuti.

m). Kata Arah -
ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau arah sesuatu.
Contoh : Semua hidangan itu diletakkan di atas meja.

n). Kata Bilangan - 
ialah perkataan yang menerangkan bilangan atau jumlah orang, benda, atau perkara.
Contoh : Saya menanam dua batang pokok kelapa di kebun.

o). Kata Adverba -
ialah perkara yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat.
Contoh : Bas itu bergerak laju.

p). Kata Penekan -
merupakan salah satu daripada kata pascakata iaitu kata yang hadir dan melekat selepas perkataan. Bentuk kata tersebut ialah - nya, yang dapat berfungsi sebagai penekan atau pembenda.
Contoh : Sesungguhnya, pengorbanan perlu jika ingin berjaya.

q). Kata Pembenda -
ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Misalnya perlahannya, sedapnya, dan sejuknya.
Contoh : Datangnya  secara mendadak.

Sunday 25 November 2012

Bahasa Melayu



MORFOLOGI : PEMBENTUKAN KATA

Pembentukan Kata dalam bahasa Melayu  terhasil melalui empat proses iaitu
proses tunggal  ( kata tunggal ),  proses pengimbuhan ( kata terbitan ),
proses pemajmuka ( kata majmuk ), dan proses penggandaan ( kata majmuk )



Mengenali Peribahasa Dalam Bahasa Melayu

Peribahasa adalah salah satu elemen penting dalam kemahiran berbahasa. Mengikut Ishak Ramly(1990) peribahasa adalah cabang dalam sastera melayu dan merupakan ikatan bahasa atau puisi melayu kuno yang bernilai sastera. Memahami peribahasa akan membawa pengkajinya mengenali sosiobudaya masyarakat melayu lama. Hal ini demikian kerana peribahasa dalam masyarakat melayu tradisional merupakan percakapan atau ujaran yang mereka gunakan untuk menyampaikan kebijaksanaan fikiran mereka kepada generasi muda. Sehubungan dengan itu, mengikut Abdullah Hussin(1989) peribahasa itu sama tuanya dengan bahasa sesuatu bangsa dan peribahasa mula-mula digunakan apabila bangsa manusia mula mengenal peradaban.

Dalam masyarakat melayu tradisional, mereka mengatur organisasi kehidupan masyarakat dengan batasan antara baik dengan yang buruk. Pemikiran sedemikian disogok kepada generasi untuk menjadi pendinding tata tertib pergaulan dan perhubungan hidup sesama manusia. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan mesej tersebut. Sebab itulah, kita dapati di dalam peribahasa terbina rangkaian-rangkaian perkataan yang tetap dan tersimpul dengan susunan-susunan yang khas dan ikatan bahasa yang indah agar mudah melekat di mulut orang ramai. Dengan demikian masyarakat mula memakainya dalam perbualan harian sebagai bandingan teladan dan pengajaran.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran peribahasa, perkembangan mutakhir menunjukkan peribahasa semakin kurang dititikberatkan kerana beberapa faktor. Ramai yang beranggapan bahawa peribahasa merupakan bahasa klise atau bahasa milik sastera lama. Justeru, generasi baru beranggapan ia sudah lapok dan tidak relevan dengan kemajuan semasa. Hal ini ditambah lagi apabila timbul anggapan bahawa peribahasa itu sukar diingat dan difahami. Kesukaran mereka memahami peribahasa menyebabkan mereka tidak mahu menggunakannya. Dalam konteks pembelajaran di bilik darjah, murid-murid sukar memahami peribahasa kerana mempunyai makna yang tersirat dan mempunyai pelbagai makna. Ditambah lagi pengajaran peribahasa yang membosankan mereka.

Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah bidalan, pepatah, perbilangan, simpulan bahasa, kiasan, perumpamaan, tampil dan ibarat. Bidalan merupakan ungkapan yang menjadi panduan nilai sosial, mengandungi teladan dan nasihat. Contohnya, "sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan". Sementara itu, peribahasa jenis pepatah pula, berasal daripada adat resam dan berfungsi sebagai pedoman dalam kehidupan masyarakat. Bentuk pepatah adalah berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, "berakit-rakit dahulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".

Simpulan bahasa merupakan kata-kata yang dikiaskan atau dibandingkan dengan benda lain. Bentuknya terdiri daripada dua atau tiga patah perkataan. Contohnya, "kaki bangku", kaki ayam". Simpulan bahasa selalu digunakan sebagai sindiran dan mempunyai bahasa yang tersirat. Peribahasa jenis kiasan lazimnya digunakan untuk membuat perbandingan perilaku manusia dengan alam sekitaran dengan cara yang lembut dan tidak tepat pukulannya. Sebagai contoh, "tangkai jering", "panjang tangan" dan "mulut tempaian". Perumpamaan merupakan peribahasa yang terdiri daripada anologi dua perkara dan biasanya menggunakan kata perbandingan : seperti, bagai, bak, umpama, laksana dan sebagainya. Contoh peribahasa "sebagai kaca terhempas ke batu" , "bagai tikus jatuh ke beras".

Kesimpulannya, peribahasa merupakan warisan kazana ilmu bahasa melayu yang patut dikembangkan kepada generasi bangsa Malaysia. Menjadikan pengajaran peribahasa sebagai salah satu aspek penting dalam pengajaran bahasa melayu merupakan langkah yang tepat. Supaya pengajaran bahasa melayu tidak membosankan murid-murid di bilik darjah, para guru perlu kreatif menyampai pengajaran peribahasa. Pelbagai pendekatan yang telah disarankan dalam menyampaikan pengajaran perlu dipraktikkan oleh guru-guru. Guru perlu membebaskan diri daripada menggunakan pendekatan yang sama setiap kali menjalankan pengajaran. Sebagai contoh, cenderung menggunakan pendekatan berpusatkan guru. Pendekatan ini hanya akan menyebabkan murid menjadi pasif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran peribahasa yang lebih menarik seperti menggunakan pendekatan kontekstual dan teknik yang berpusatkan pelajar perlu diambil perhatian oleh guru.