Monday 26 November 2012

Bahasa Melayu - ( Jenis-Jenis Kata Tugas )

a). Kata Hubung -
ialah kata penyambung ayat, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis.
Contoh : Zaki, Adli dan Irfan pergi ke sekolah.

b). Kata Seru -
ialah  kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun.
Contoh : Amboi, kedekutnya orang itu!

c). Kata Tanya -
ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila, dan bagaimana.
Contoh : Berapa tahunkah dia berada di luar negara?

d). Kata Perintah - 

ialah perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan, atau permintaan.
Contoh : Jangan kamu bermain di kawasan ini.

e). Kata Pangkal Ayat - 

ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan  ayat dalam wacana. Namun, kata pangkal ayat ini tidak begitu banyak diamalkan sekarang. Perkataan ini umumnya digunakan dalam bahasa Melayu klasik, misalnya hatta,maka, arakian, syahadan, dan sebagainya.
Contoh : Hatta istana itu pun siaplah.

f). Kata Bantu -

ialah perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama iaitu dengan menimbulkan makna-makna tambahan dari aspek waktu atau ragam.
Contoh : Kami pernah ke utara Malaysia.

g). Kata Penguat

ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif.
Contoh : Pokok itu terlalu tinggi.

h). Kata Penegas -

juga disebut partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
Contoh : Inilah isteri kesayanganku.

i). Kata Nafi -

ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.
Contoh : Lelaki yang berbaju merah itu bukan ayah saya.

j). Kata Pemeri -

ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dala predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu ialah dan   adalah.
Contoh : Dia ialah seorang guru.

k). Kata Sendi Nama -

adalah kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi memerlukan frasa nama yang membentuk predikat ayat.
Contoh : Dia berasal dari pedalaman.

l). Kata Pembenar -
ialah kata yang mengesahkan sesuatu pertanyaan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar, dan betul.
Contoh : Ya, esok awak boleh bercuti.

m). Kata Arah -
ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau arah sesuatu.
Contoh : Semua hidangan itu diletakkan di atas meja.

n). Kata Bilangan - 
ialah perkataan yang menerangkan bilangan atau jumlah orang, benda, atau perkara.
Contoh : Saya menanam dua batang pokok kelapa di kebun.

o). Kata Adverba -
ialah perkara yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat.
Contoh : Bas itu bergerak laju.

p). Kata Penekan -
merupakan salah satu daripada kata pascakata iaitu kata yang hadir dan melekat selepas perkataan. Bentuk kata tersebut ialah - nya, yang dapat berfungsi sebagai penekan atau pembenda.
Contoh : Sesungguhnya, pengorbanan perlu jika ingin berjaya.

q). Kata Pembenda -
ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Misalnya perlahannya, sedapnya, dan sejuknya.
Contoh : Datangnya  secara mendadak.

No comments: